Mohd Kamil Yusof
Suasana politik negera ini cukup meriah dengan pilihan raya apabila sembilan kali pilihan raya kecil diadakan sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008. Tidak lama lagi mungkin ada satu lagi pilihan raya kecil apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Bahagian Jerlun, Kedah kosong.
Mahkamah membuat keputusan tersebut setelah berpuas hati wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif dari Barisan Nasional (BN) tidak menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos 2009.
Malang sungguh bagi BN dan UMNO serta rakyat di kawasan itu kerana mempunyai seorang wakil rakyat yang tidak menghadiri mesyuarat tanpa sebab, utama dalam bahasa mudahnya ponteng.
Kalau budak-budak nakal ponteng sekolah, itu perkara biasa. Tetapi jika wakil rakyat yang dipilih oleh 8,160 pengundi kawasan itu tidak hadir sidang dewan sebanyak dua kali berturut-turut , tentunya wakil rakyat itu ada masalah.
Kalau alasannya sakit teruk sehingga tidak boleh bangun, itu boleh diterima. Tetapi kalau tanpa alasan dan sijil sakit (MC) hanya diserahkan selepas ‘masalah’ ini berbangkit, budak darjah satu pun boleh buat penilaian.
Mengapa masih ada wakil rakyat yang sebigini sikapnya, memandang remeh amanah yang diberikan oleh rakyat. Menjadi wakil rakyat bukan sahaja memikul tanggungjawap terhadap rakyat yang diwakilinya tetapi juga bertanggunjawab terhadap Allah.
Jika kita tidak sangup memikul amanah, lebih baik dari awal-awal lagi undur diri dan menolak pencalonan. Berikan kepada mereka yang benar-benar layak dan sangup berkorban masa dan tenaga untuk rakyat.
Ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaung-laungkan slogan ‘1Malaysia’, ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ sikap wakil rakyat seperti ini amat memalukan dan mencemarkan imej kerajaan BN.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam reaksinya terhadap keputusan mahkamah itu secara terus terang berkata beliau kecewa dengan perkara itu. Bukan sahaja Muhyiddin kecewa, malah rakyat negera ini yang cintakan ketelusan dan mengharapkan pemimpin berperibadi mulia, turut berkongsi perasaan yang sama.
Bukannya susah sangat untuk menghadiri sidang dewan Undangan Negeri. Bukannya perlu berjalan kaki berbatu-batu. Naik kereta, duduk belakang, pemandu yang akan bawakan. Rasanya tidak ada perkara penting lain yang boleh menghalang ke sidang dewan, kecuali kematian.
Apabila difikirkan secara lebih mendalam semua ini adalah punca daripada sikap. Sikap malas, mementingkan diri sendiri, memandang remeh terhadap peraturan dan undang-undang.
Atau wakil rakyat itu benar-benar tidak tahu bahawa jika dua kali tidak hadir persidangan berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, maka kerusi yang diwakilinya akan kosong.
Itu undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Takkan undang-undang tubuh pun wakil rakyat tidak tahu. Tidak logik rasanya. Lagipun Abu Hassan bukan baru sebagai sebagai ahli ADUN, sudah empat penggal memegang jawatan itu.
Apabila mengangkat sumpah sebagai Ahli DUN, perkara pertama yang perlu diketahuinya ialah berkenaan undang-undang, samaada undang-undang mesyuarat, undang-undang dewan atau apa jua undang-undang dan peraturan yang berkenaan dengan bidang tugasnya sebagai wakil rakyat.
Semua ahli DUN kena tahu undang-undang DUN. Ini kerana tugas mereka antara lain meluluskan undang-undang dan peraturan untuk kepentingan umum. Agak pelik jika Ahli DUN tidak tahu itu semua.
Semua perkara ada undang-undang dan peraturan untuk kepentingan umum.
Agak pelik jika ahli DUN tidak tahu itu semua.
Semua peprkara ada undang-undang dan peraturannya sendiri. Sekolah, contohnya ada peraturannya. Budak-budak sekolah terikat dengan peraturan sekolah. Ponteng sekolah tiga hari berturut-turut tanpa alasan munasabah, kena buang sekolah.
Jika yang berhormat sendiri tidak tahu peraturan dan undang-undang, bagaimana dia hendak menjalankan tugasnya kepada rakyat dengan lebih berkesan. Yang berhormat bukannya budak-budak sekolah lagi. Perangai pun perlu lebih baik dari budak-budak sekolah.
Bila terjadi perkara seperti ini, menyesal pun tidak berguna lagi. Ia sebenarnya menyusahkan semua pihak, daripada pucuk kepimpinan sehingga ke rakyat di kawasan tersebut.
Yang pasti, BN perlu ingat, jika diadakan pilihanraya sekali lagi dikawasan itu, belum tentu parti itu akan dapat mempertahankan kerusi tersebut. Dengan majoriti hanya 495 undi pada pilihan raya umum lalu, BN perlu bekerja lebih kuat untuk tidak berputih mata. Inilah kata orang, ‘tidak ada penyakit, cari penyakit’.
Kolum Secukup Rasa, Sisipan Akhbar Utusan Melayu, Isnin 23 November 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment