Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh hari ini diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi di sini ekoran penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif gagal menghadiri dua persidangan dewan itu secara berturut-turut.
Keputusan oleh Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin itu mengundang satu lagi pilihan raya kecil jika proses rayuan berakhir dengan mengekalkan ketetapan yang dibuat mahkamah hari ini.
Permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menangguhkan pilihan raya kecil yang patut diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengosongan kerusi tersebut akan didengar Jumaat ini.
Hakim Alizatul membuat keputusan tersebut pada prosiding yang bermula pukul 5.30 petang dan hanya berakhir kira-kira pukul 7 malam ini.
Sejajar dengan pengisytiharan tersebut, Abu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) secara rasmi tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN Kedah, esok.
Dalam penghakiman yang mengetepikan keputusan SPR itu, Hakim Alizatul menyatakan, suruhanjaya berkenaan telah bertindak secara tidak sah dan tidak rasional ketika mengekalkan Abu Hassan sebagai Ahli DUN (ADUN) kawasan tersebut.
Tegas beliau, Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah (UTNK) menyatakan dengan jelas berlaku kekosongan kerusi sekiranya ADUN tidak menghadiri mesyuarat tanpa kebenaran Speaker bagi dua persidangan berturut-turut.
Selain itu, ujar beliau, mesyuarat yang gagal dihadiri oleh Abu Hassan pada 19 April dan 9 Ogos lalu adalah dua mesyuarat dalam satu penggal yang sama.
Pada hemat beliau, berdasarkan Perkara 2 undang-undang tersebut berhubung tafsiran mesyuarat dan penggal, SPR tersalah tafsir apabila mengkategorikan bahawa ia adalah dua mesyuarat dalam penggal yang berbeza.
Di samping itu, SPR telah tersilap apabila menerima sijil cuti sakit Abu Hassan yang dinamakan sebagai responden pertama walhal mereka tidak boleh berbuat demikian.
‘‘SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan,’’ katanya.
Beliau memutuskan demikian ketika membenarkan semakan kehakiman oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukan lagi seorang ADUN ekoran kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos lalu dan kerusi tersebut adalah kosong.
Abdul Isa turut memohon perintah mahkamah supaya SPR mengadakan pilihan raya kecil.
Speaker DUN Kedah itu memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober lalu selepas SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih seorang ADUN.
Peguam Sulaiman Abdullah mewakili Abdul Isa sementara Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said mewakili SPR.
Menurut Kamaluddin, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan tersebut.
Ketika ditemui pemberita sejurus selepas prosiding selesai, Abu Hassan berkata, beliau menerima keputusan mahkamah dan menyerahkan kepada peguamnya untuk meneruskan proses perundangan.
Ditanya sama ada beliau sedih atau kecewa, Abu Hassan menganggap ia perkara biasa bagi orang politik.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun mewakili Abu Hassan.
Utusan Malaysia, 17 November 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment