Saturday, November 28, 2009

Tiba-tiba Kerajaan Negeri Selangor takut kepada BTN!

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

PADA Rabu lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali membuat keputusan melarang penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri itu daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta-merta.

Alasan beliau, kursus itu merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman. Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menggesa BTN ditutup.

Jelas pemimpin pembangkang takut bayang-bayang sendiri. Mereka takut rakyat yang mula sedar kelemahan dan kepincangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang beralih sokongan kepada parti komponen BN semula.

Perkembangan peralihan sokongan rakyat kepada BN sudah nampak sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara dan melakukan pembaharuan dan transformasi sejak April lalu.

Gagasan 1Malaysia yang menumpukan kepada Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan hari demi hari memikat hati rakyat melalui pelaksanaan dasar-dasar baru kerajaan.

Hal inilah cuba diterapkan oleh Kerajaan Persekutuan supaya peserta kursus BTN dapat memahami aspirasi negara untuk kebaikan semua kaum.

Kalau perkara baik begini dituduh untuk memecahbelahkan rakyat berbilang kaum, maka tanggapan Dr. Halimah adalah salah. Sebenarnya para pemimpin Kerajaan Negeri Selangor cuba mengalihkan perhatian daripada isu kepimpinan PKR dan Pas kepada BTN yang berada di bawah Kerajaan Pusat.

Kenapa Dr. Halimah takut sangat dengan BTN yang pernah dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Dr. Hassan Ali.

Sejak mengambil alih kuasa kerajaan negeri pada Mac 2008, tidak sudah-sudah kekecohan berlaku di Selangor. Rakyat sudah jemu dengan mainan politik pakatan pembangkang yang sehingga hari ini masih 'berhutang' banyak janji dalam manifesto pilihan raya dahulu. Rakyat Selangor sudah bosan dengan pelbagai alasan dan mainan politik pakatan pembangkang.

Jelas, pakatan pembangkang nampaknya tidak mampu mentadbir negeri, sebaliknya cuba mengalih tumpuan rakyat daripada isu Anwar Ibrahim dan isu-isu kepincangan pentadbiran negeri Selangor kepada BTN.

Apa salah kursus BTN hingga tiba-tiba dijadikan kambing hitam? Tidak bolehkah penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi mengikuti kursus memupuk perpaduan yang dianjurkan BTN?

Sudah ramai peserta menjalani kursus BTN, tetapi tidak ramai juga yang menentang UMNO dan BN. Jadi apa kalut sangat Dr. Halimah yang takut peserta menukar pendirian. Kalau pentadbiran Selangor berkesan, jangan dibimbang akan sokongan rakyat. Mereka tahu yang mana boleh diharap dan yang mana hanya cakap kosong.

Apa yang penting, Kerajaan Negeri Selangor perlu adil dan melaksanakan apa yang diarahkan. Kalau kursus BTN mahu dipulaukan, maka masjid-masjid di Selangor mesti dibersihkan daripada dicemari oleh ceramah-ceramah berbau politik sebagaimana perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang sebarang aktiviti politik di masjid dan surau di negeri itu.

Tetapi perkara ini masih berlaku hingga hari ini apabila penceramah agama yang bertauliah dan tidak bertauliah, tanpa rasa bersalah mencaci dan menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada musuh politiknya. Bukan semua jemaah masjid itu orang politik. Mereka bukan dapat ilmu agama tetapi kata-kata caci, fitnah dan sindiran secara halus hingga boleh menimbulkan perpecahan di kalangan kariah masjid.

Saya berpandangan doktrin memecahbelahkan kariah sesama Islam melalui ceramah agama di surau dan masjid yang lebih berbahaya daripada kursus BTN.

Jangan terkejut jika selepas ini ada bermacam-macam larangan diumumkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang takut pada bayang-bayang sendiri.

Mereka perlu ingat bahawa tugas mentadbir negeri serta melaksanakan janji-janji pilihan raya tidak semudah melaungkan suara-suara membangkang.

‘Takut bayang-bayang sendiri’

AGAK mengejutkan apabila kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.

Ini boleh diklasifikasikan sebagai tindakan marahkan nyamuk tetapi kelambu yang dibakar atau pun takut bayang-bayang sendiri. Kenapa takut sangat dengan kursus BTN? Adalah tidak adil sama sekali melemparkan tuduhan liar bahawa ia merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Tuduhan bahawa BN cuba memecah belahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama tidak boleh diterima sama sekali. Apakah kita lupa dan masih tidak sedar bahawa siapa yang sedang berusaha keras untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa negara ini? Siapa yang telah memperkenalkan konsep 1Malaysia demi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang sehati dan sejiwa?

Jika pihak kerajaan Selangor merasakan pengaruh mereka semakin terhakis itu adalah disebabkan kesilapan mereka sendiri yang gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Mereka juga dilihat gagal meyakinkan rakyat dengan corak pemerintahan mereka.

Usahlah cuba menyalahkan orang lain di atas kesilapan diri sendiri. Jika benar dakwaan bahawa rakyat masih menyokong mereka maka kenapa perlu takut dengan perkara kecil sebegini? Apalah sangat dengan kursus yang hanya makan masa selama seminggu sahaja?

Rakyat kita semakin bijak dan waras dalam membuat pertimbangan dan pemilihan. Justeru janganlah terlalu memandang rendah kepada kemampuan rakyat negeri Selangor. Mereka tetap akan menyokong jika mereka mahu walaupun ada pihak yang cuba menghalang mereka.

Keputusan ini dilihat lebih banyak mendatangkan kerugian daripada keuntungan. Pihak pelajar terutamanya, bakal menjadi mangsa keadaan. Mahasiswa yang sepatutnya diberi peluang serta pendedahan untuk mengikuti kursus-kursus kenegaraan sebegini pastinya terlepas peluang dengan sebegitu sahaja.

Sebagai peserta yang pernah menjalani kursus BTN ini penulis merasakan ia satu kursus yang cukup baik dan bermanfaat, terutamanya dari segi pembentukan jatidiri serta ketahanan mental dan fizikal.

Adalah sangat merugikan apabila mahasiswa dan kakitangan kerajaan tidak berpeluang lagi mengikuti kursus ini. Diharap kerajaan Selangor akan menimbang semula keputusan larangan tersebut.

Memanglah mereka mempunyai kuasa dan hak ke atas IPT dan jabatan milik kerajaan negeri. Tetapi janganlah menggadaikan masa depan anak-anak kita serta kualiti kerja serta moral dan motivasi kakitangan awam. Tiada gunanya menggunakan kuasa untuk perkara-perkara sebegini.

Utamakanlah masa depan anak- anak kita yang perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni, jatidiri serta perasaan sayangkan negara kita. Usahlah mempolitikkan isu-isu sebegini yang jelas tidak mendatangkan sebarang faedah.

Banyak lagi hal yang boleh dipolitikkan dan digunapakai sebagai modal survival politik masing-masing. Biarlah mahasiswa dan kakitangan awam melaksanakan tugas mereka tanpa sebarang prasangka dengan ikhlas dan telus.



Utusan Malaysia, 28 November 2009

No comments:

Post a Comment